Monday, October 31, 2016

CABARAN ICT DALAM PEMBENTUKAN PEMBANGUNAN INSAN

CABARAN ICT DALAM PEMBENTUKAN PEMBANGUNAN INSAN

RYUSDA BAKRI (MISDEV15.1)
PUSAT KAJIAN PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA


PENGENALAN

Kejayaan manusia merentasi dunia tanpa sempadan dan mencetus era globalisasi telah berjaya membawa pelbagai gaya hidup yang berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat. Namun kepesatan dalam mengejar arus dunia globalisasi telah memberi dampak yang negatif kepada seluruh kehidupan masyarakat terutamanya golongan remaja iaaitu cabaran terhadap nilai, budaya, pemikiran dan corak kehidupan yang beralaskan adat, tatasusila ketimuran dan penghayatan agama. Setiap hari kita disajikan dengan pelbagai hasil ciptaan baru dari inovasi teknologi sehingga berjaya menghapuskan batasan sempadan sesebuah negara dalam era kemajuan sains dan teknologi. Malahan ia juga berjaya membentuk pemikiran baru, ideologi, budaya dan berbagai elemen luar yang memasuki negara tanpa sebarang sekatan atau kawalan.

Selain itu, dikatakan bahawa salah satu daripada kecenderungan manusia di awal abad kedua puluh satu ialah ledakan maklumat. Maklumat atau pengaruh ICT yang begitu berharga membawa kepada penentu dan penggerak masa depan sehingga membawa kesan kepada pegangan dan penghayatan nilai-nilai murni agama serta pembangunan insan dalam masyarakat, malahan perubahan dalam paradigm tauhid, syariah dan akhlak mulia sehingga mengikis nilai-nilai keinsanan (Mohamed Imran Mohamed Ariff, Mohd Yadman Sarwan & Mohamad Zaki Zainul, 2005).

Sehubungan itu, penggunaan cyberworl  atau istilah lain ialah dunia siber yang pertama kali diperkenalkan oleh seorang penulis sains fiskyen William Gibson dalam bukunya yang bertajuk Neuromancer tahun 1984. Beliau memberi istilah dunia siber dengan suatu istilah tekno dan menggugat perasaan tetapi dasarnya tidak bermakna, yang berfungsi sebagai kata laluan untuk semua idea sibernatiknya. Oleh itu, penggunaan istilah ini menjadi suatu yang biasa diperkatakan dan digunakan secara meluas dengan sesuatu yang berkaitan seperti komputer, teknologi maklumat, internet dan pelbagai budaya internet. Secara umumnya, ia merujuk kepada dunia atas talian dengan hanya menggunakan satu jari manusia berjaya mencapai pelbagai perkara diluar batasan akal dan kemampuan manusia (Mohd Dahlan A. Malek, 2003).

Perkembangan arus semasa kini jika dilihat dari sudut negatif terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh oleh golongan remaja khususnya seperti gejala sosial dalam penggunaan siber kerana kebanyakan golongan remaja kini menjadikan dunia siber untuk menjalinkan sebarang hubungan sosial seperti menerusi laman web Facebook, Twitter, Wechat, WhatAps, Beetalk dan lain-lain yang menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan yang menarik bagi menarik golongan remaja untuk terlibat. Walaubagaimanapun, secara akademiknya, tidak dinafikan laman web sosial juga menawarkan pelbagai kebaikan buat seluruh kehidupan manusia dalam menjalinkan perhubungan, perbincangan isu-isu semasa terkini  dan memudahkan dalam setiap urusan, namun jika dibiarkan tanpa kawan akan membawa kesan yang negatif lebih banyak dari kebaikan. Hal ini dapat dilihat laman-laman web ini juga menjadi tumpuan para penjenayah untuk memerangkap remaja seperti keperluan dan maklumat peribadi atau gambar-gambar peribadi akan jatuh ke tangan pihak yang tidak dikenali dan sekaligus akan terlibat dalam dunia pornografi, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia (Hasnah Ghani, 1995).

Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa laman web sosial sebegini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan seperti dapat berhubung serta membincangkan isu-isu terkini melalui ruangan siber, namun begitu juga keburukannya kerana penggunaannya adalah tanpa kawalan. Menurut karya Mohammad Kamil Abd Majid & Rahimin Affandi Abd Rahim, 2009),  laman-laman web sebegini juga menjadi tumpuan para penjenayah yang mahu menjadi remaja sebagai mangsa mereka. Terdapat juga para remaja mungkin tidak menyedari keperluan untuk menjaga maklumat peribadi mereka, ataupun gambar-gambar peribadi mereka daripada jatuh ke tangan pihak yang tidak dikenali dan sekaligus menjadi mangsa penjenayah-penjenayah dunia siber seperti terlibat dalam dunia pornografi, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia. Antara cabaran-cabaran yang terdapat dalam dunia siber antaranya :
a)            Kesahihan maklumat
Maklumat yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan dan kepalsuan fakta. Terutama sekali dalam soal ilmu keagamaan yang perlu dipastikan kebenarannya. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan bagi menyeleweng dan melakukan dusta bagi tujuan menyesatkan orang lain. Hal ini memberi cabaran terhadap proses tradisonal dalam mendapatkan maklumat yang sahih. Misalnya dengan hanya merujuk kepada bahan dari internet seperti al-Quran kemungkinan berlaku kesalahan fakta seperti ayat dari versi Israeliyat. Oleh itu seseorang perlu merujuk kepada sumber asal bagi mengesahkan maklumat dan mengelakkan kekeliruan. Kesan yang nyata dari amalan ini ialah ramai pencari maklumat mudah mempercayai bahan yang diperolehi dari internet. Rujukan maklumat semata-mata kepada internet tanpa pengesahan akan menimbulkan masalah tentang kebenaran fakta sesuatu maklumat.

b)            Melayari web negatif
Minat dan kesukaan remaja dalam mengakses laman-laman web yang tidak bermoral memberi kesan negatif kepada perkembangan minda dan fizikal mereka kerana akan membawa kepada suatu ketagihan dan mencetuskan kepada penzinaan sehingga mengakibatkan lahirnya anak luar nikah dan hubungan sebelum perkahwinan yang sah.
c)            Penyebaran fitnah dan gossip
Kemudahan melalui ICT sering disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi ICT ialah penyebaran fitnah dan gossip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan laman web internet, sms, mms dan media lain terutama di musim pilihanraya. Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat dan bernegara.

Sehubungan itu, dalam Islam telah meletakan batas dan peraturan dalam setiap perkara. Masyarakat yang beretika ialah masyarakat yang mempertahankan tanggungjawab moral dan sosial, membentuk individu sebagai anggota masyarakat yang komited terhadap peraturan dan lunas-lunas yang berhemah. Islam sebagai contoh telah menyediakan asas etika dan akhlak dalam pembembentukan pembangunan insan  yang luhur untuk diamalkan oleh semua peringkat manusia di zaman siber ini. Asas sifat seperti Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fataonah wajar dipraktiskan dalam seluruh generasi ICT. Sikap Siddiq yang bermaksud “benar” amat besar perananya dalam hidup manusia. Permasalahan kerakusan “manusia pornografi” akan dapat diatasi jika manusia seluruhnya sentiasa memastikan setiap tindakan mereka sentiasa benar. Hal ini hanya dapat dipastikan jika manusia itu punyai iman dan pekerti yang luhur. Amanah sebagai standard umum perbuatan manusia akan melahirkan generasi yang “success” dalam segenap lapangan. Penyebar maklumat yang amanah akan sentiasa memastikan bahan yang disebar adalah betul dan tepat dan akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari. Didikan terhadap perbuatan amanah ini mestilah dilakukan sejak manusia itu diperingkat “rebung”. Sifat Tabligh pula akan memastikan amalan menyuruh manusia berbuat kebaikan dan melarang manusia berbuat kejahatan akan berterusan. Setiap individu yang terlibat secara landsung ataupun tidak secara lansung dalam dunia Internet dan maklumat sewajarnya faham akan maksud “tabligh”. Manakala sifat atau standard Fatonah juga sewajarnya disebarluaskan dikalangan umat ICT. Fatonah yang bermaksud bijaksana akan mendorong manusia sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu di dalam Internet. Jika sifat ini berjaya ditanam dalam jiwa manusia seluruhnya maka standard etika yang cemerlang akan berjaya diaplikasikan dalam masyarakat dunia. Hal ini kerana, “the character of the Muslim community is not determined by the rituals alone”. Muslim mesti mengetahui bagaimana untuk memperbetulkan segala serangan dan dakyah yang dilontar terhadap mereka.

PENUTUP
Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur perlu melengkapkan masyarakatnya dengan  panduan etika bagi melayari alam siber yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Islam sebagai agama yang membawa rahmat hendaklah dijadikan rujukan utama di dalam penggubalan adab dan etika kepenggunaan internet, sesuai dengan ciri Islam itu sendiri yang membawa perubahan menyeluruh samada dari sudut sosial, ekonomi dan sebagainya. Islam mewajibkan kepada seluruh kaum muslimin agar yang satu menghormati yang lainnya, yang seorang menjaga kemuliaan diri dan kawannya, keharuman namanya, kebagusannya dengan hati yang seikhlas-ikhlasnya. Oleh itu, harapan besar negara dengan adanya ketelusan dan ketulusan dalam zaman siber ini maka masyarakat akan lebih beruntung dan sejahtera iaitu iada lagi unsur yang yang boleh merosak dan menghancurkan keutuhan masyarakat disebar melalui jaringan maya yang akan diakses oleh manusia sejagat. Pengaruh ICT dalam tahap kemodenan dan kehidupan masa kini tidak dapat dielakkan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan khususnya generasi muda. Ianya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden kini yang akan terus meningkat penggunaan dan pengaruhnya dari masa ke semasa. Penggunaan dan pengaruh dalam kehidupan masyarakat Malaysia kini sudah tidak dapat dipisahkan dengan ICT dalam banyak aspek kehidupan. Bagi mengelak atau mengurangkan kesan negatif dan menghancurkan nilai-nilai positif agama dan budaya masyarakat kita serta menjamin survival nilai-nilai positif masyarakat, semua pihak dan dari berbagai peringkat mestilah memainkan peranan dalam  mengukuhkan nilai agama, moral dan etika masyarakat kita, khususnya bagi generasi muda bagi mengelak daripada kesan negatif yang akan semakin parah. Kesan negatif sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi apa yang mungkin dapat dilakukan adalah tingkatkan kesan positif dan kurang kan kesan yang negatif. Dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan negatif ICT ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan negara bangsa Malaysia. 

RUJUKAN
Hasnah Ghani (1995). Jenayah remaja permasalahan dan penyelesaian. Shah Alam:Hizbi.

Mohamed Imran Mohamed Ariff, Mohd Yadman Sarwan, Mohamad Zaki Zainul (2005). Cabaran dan impak ICT suatu pendekatan dalam ISlam. Prosiding Seminar Kebangsaan E-Komuniti. Perak: Universiti Teknologi Mara.

Mohd Dahlan A. Malek , Ida Shafinaz Mohamed Kamil (2003), Jenayah dan masalah sosial di kalangan remaja. Tesis. Universiti Malaysia Sabah.


Mohamad Kamil Abd Majid, Rahimin Affandi Abd Rahim (2009). Perubahan sosial dan impaknya terhadap pembentukan modal insan menurut ibn Khaldun. Jurnal Hadhari. Bil 1(2009) 45-76. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Monday, May 23, 2016

ILMU ISLAM DAN BARAT DARI SUDUT EPISTEMOLOGI

ILMU ISLAM DAN BARAT DARI SUDUT EPISTEMOLOGI

PENGENALAN
Kalimah iqra merupakan manifestasi wahyu yang pertama diturunkan kepada manusia menerusi Rasulullah SAW, jelas membuktikan bahawa kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia. Hal ini sejajar dengan perintah Allah SWT yang meletakkan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Malahan imam Syafie menyatakan “tuntulah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan menjadikan cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh”. Selain itu, ayat-ayat al-Quran juga banyak menekankan kepentingan ilmu dan didapati terdapat lebih kurang 800 rujukan yang berkaitan dengan ilmu. Justeru ilmu yang terpenting adalah ilmu pembangunan insan yang merujuk kepada agama,akidah, Tuhan dan memahami hukum hakam Allah SWT, dengan itu apabila beriman kepadaNya kita diperintahkan untuk mencari ilmu dan beramal dengan ilmu tersebut iaitu merujuk kepada ilmu fardhu ain yang menjadi kewajipan setiap muslim.

EPISTEMOLOGI ILMU ISLAM

Konsep epistemologi kebiasaannya dikaitkan dengan persoalan falsafah iaitu dalam aspek pengkajian ilmu pengetahuan. Oleh itu, konsep epistemologi menurut Islam menjadi peranan terpenting dalam masyarakat kerana ia adalah pandangan hidup yang merangkumi kehidupan di dunia dan akhirat. Epsitemologi adalah salah satu cabang ilmu falsafah yang membincangkan berkaitan haikat, makna, kandungan, sumber dan proses ilmu. Secara kesimpulannya ialah membawa maksud kajian berkaitan ilmu pengetahuan (Sulaiman Nordin, 2008:1)
Menurut Sulaiman Nordin (2008), epistemologi ilmu Islam adalah bersandarkan kepada sumber asas yang utama iaitu wahyu dan tidak menolak ilmu yang berunsurkan akal pemikira kerana ilmu dalam Islam adalah berbentuk sepadu dan tidak terpisah. Hal ini dapat dilihat pada ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, syariah dan lain-lain yang menjadi asas utama dan membentuk satu gandingan sepadu dengan ilmu kifayah seperti sains dan teknologi yang memudahkan urusan manusia.
Selain itu, ilmu ialah hakikat tentang sesuatu perkara kerana dalam Islam sumber ilmu yang sebenar adalah daripada Allah SWT yang dianugerahkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Oleh itu, ilmu dalam Islam boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat berdasarkan sumber-sumber  yang diiktiraf dalam Islam ialah ilmu wahyu, ilmu ilham dan ilmu akal kerana setiap bahagian ilmu terdapat hieraki dan kedudukannya dalam Islam ilmu yang diterima menurut bidang epistemogi Islam (Basri Husin, 2009: 186)

EPISTEMOLOGI BARAT

Menurut Sidek Baba (2011) menyatakan, epistemologi ilmu Barat adalah bersifat sekular yang tidak meletakkan agama sebagai landasan utama dalam setiap penyelidikan ilmu sehingga membawa kepada fahaman rasionalisme, saintisme, humanisme, liberalisme dan modernisme Barat yang akhirnya membawa kepada permasalahan akidah buat umat Islam khususnya. Hal ini kerana, pemikiran Barat yang berasaskan fahaman sekular ini hanya berasaskan kepada fakta, data dan dapatan hasil ujikaji seta pemerhatian yang menggunakan akal dan dibuktikan dengan pancaindera semata-mata tanpa melibatkan nilai agama dalam setiap penyelidikan ilmu. Ilmu bagi Barat tidak boleh dikaitkan dengan agama kerana faktor agama untuk dijadikan hujah empiris akan tertolak dan dianggap sebagai dogma iaitu tidak mempunyai asas pembuktian secara saintifik yang melibatkan perkara yang tidak mampu dibuktikan oleh akal dan pancaindera seperti perkara ghaibiyyat.

Sehubungan itu, fahaman epistemologi ilmu Barat yang bersifat sekular ini tujuan mencari dan mempelajari ilmu bukanlah sasaran untuk menjadi khalifah Allah SWT yang mencari kebenaran kewujudan Allah SWT dalam setiap kejadian sebaliknya hanya bermatlamatkan ilmu sekadar ilmu dan memberikan rasa ingin tahu manusia yang tidak terbatas demi kepentingan tersendiri dan kebendaan. Oleh itu, wujudlah pengkaji-pengkaji ilmu yang hanya berterusan membuat kajian demi kajian sehingga tanpa mempedulikan unsur-unsur kerohanian dan nilai akhlak, contohnya penciptaan klon manusia yang bertentangan fitrah manusia dan kewujudan kuasa Tuhan. Sehubungan itu, ilmu pengetahuan masa kini gagal melihat hubungan yang saling berkaitan antara ilmu saintifik dan agama kerana ia telah membawa kepada pemisahan ilmu yang melanda umat Islam kini. (Mohd Kamal Hassan, 1986:13).

KESIMPULAN
Sistem pendidikan yang diadaptasi oleh Barat telah mewujudkan ketiadaan haluan dan konflik mental yang melanda pemikiran masyarakat moden hari ini adalah hasil pengembangan ilmu yang menafikan hakikat kewujudan dan kekuasaan Allah SWT. Sistem ini mengelilingi dunia umat Islam yang menerapkan nilai ilmu hanyalah untuk duniawi semata-mata atau lebih bersifat kebendaan yang mampu memberi kemudahan dan mencapai kemajuan fizikal serta teknologi. Oleh itu, seandainya ilmuwan-ilmuwan Islam tidak menyedari hakikat ini dan mula meletakkan asas dalam setiap ilmu pengetahuan adalah Allah SWT, maka masyarakat orang Islam akan terus mengalamai pola-pola pembangunan yang pincang dan membawa kepada kerosakkan nilai akhlak sehingga melahirkan manusia yang hanya bertunjungkan ilmu berdasarkan akal semata-mata.

RUJUKAN
Basri bin Husin. (2009). Beberapa aspek epistemologi: Konsep, tabiat dan sumber-sumber
ilmu dalam tradisi Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Mohd Kamal Hassan. (1986). “Penghayatan Islam dalam Mempelajari dan Mengembangkan Ilmu” dalam Tajul Ariffin Noordin dan Abdul Raof Dalip (ed), Pendidikan Sepadu. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sulaiman Noordin. (2008). Sejarah pemikiran 1. Bangi: Pusat Pengajian Umum UKM.


Sidek Baba. (2011). Tajdid ilmu dan pendidikan. Kuala Lumpur: Techknowlogic Trading Sdn. Bhd.

Monday, April 18, 2016

PEMIKIRAN KEILMUAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

PEMIKIRAN KEILMUAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Prof Dr. Syed Naquib Al-Attas telah mendefiniskan ilmu sebagai ketibaan makna dalam diri seseorang yang menyebabkan berlaku perubahan berdasarkan ilmu yang diperolehi. Umumnya ilmu ialah pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah yang digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Oleh itu, ilmu menurut Islam dan Barat adalah berbeza kerana bagi Barat ilmu hanya dapat digarap oleh akal dan pancaindera sahaja, sedangkan ilmu dalam Islam adalah bersifat meluas dan diluar batas pancaindera.

KEPENTINGAN ILMU

Ilmu merupakan suatu perkara yang terpenting dalam kehidupan manusia kerana perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada bangsa itu sendiri. Justeru, Islam telah mengingatkan kita tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat-al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu, berdasarkan sabda Rasulullah SAW, maksudnya “ menuntut ilmu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan”.  Hal ini membuktikan menuntut ilmu merupakan perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam (Ramawan Ab.Rahman, 2011:70).

Oleh itu, menurut Rabiatul Adawiyah Ahmad Rasyid (2004: 45) dalam kajian mengenai konsep kesepaduan ilmu: antara Islam dan Barat menyatakan kepentingan ilmu pengetahuan dalam Islam ialah akan membawa manusia ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat, melalui ilmu, manusia mampu menjalankan ibadah dengan sempurna sama ada ibadah khusus atau ibadah umum, ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran akan menjadi banteng yang mencegah seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak serta menolak dari sifat kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

Selain itu, Hussain Othman (2009: 72), menyatakan ilmu dalam Islam dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain juga dapat dipecahkan kepada tiga bahagia iaitu pertama, ilmu tauhid yang berkaitan ilmu ketuhanan melibatkan perkara-perkara solat, akidah dan keimanan. Kedua, fekah iaitu ilmu berkaitan ibadah yang melibatkan hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan manusia. Ketiga, tasawuf iaitu ilmu akhlak yang berkaitan dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) dan sifat mazmumah (tercela ) serta berkaitan adab dan kelakuan manusia dengan Allah SWT, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekeliling. Manakala ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu yang lebih umum yang diperlukan untuk manfaat dan kegunaan umat Islam seperti ilmu perniagaan, ilmu kedoktoran, ilmu pengurusan, ilmu pertanian dan sebagainya.

Sumber-sumber ilmu pengetahuan dalam Islam ialah wahyu iaitu ilmu pengetahuan daripada Allah SWT kepada hambanya yang dipilih di kalangan hamba. Pancaindera juga merupakan sumber ilmu dalam Islam yang melibatkan sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan sumber pengetahuan utama dan amat berguna buat manusia. Selain itu, akal merupakan sumber utama ilmu pengetahuan manusia kerana ia membezakan antara manusia dan binatang kerana dengan akal manusia mampu membezakan mana yang baik dan buruk. Malahan dalam Islam, ilmu melalui intuisi atau ilham turut diterima kerana merupakan pengetahuan yang diperoleh tanpa melalui proses pemikiran  tertentu, contohnya, seseorang yang mempunyai masalah tetapi dapat menyelesaikan masalah tersebut secara tiba-toba tanpa melalui proses tertentu, ilmu ini dalam Islam dipanggil firasat atau pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah SWT (Ramana Ab. Rahman, 2011: 67).

KESIMPULAN

Sehubungan itu, Ilmu dalam Islam melibatkan skop yang luas kerana Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu iaitu tidak ada sebarang pertentangan antara agama dan ilmu disebabkan agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu itu adalah agama. Ilmu dalam perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil yang merangkumi pelbagai perkara seperti al-Quran, syariah, sunnah, iman, kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan. Oleh itu, ilmu adalah teras dalam sistem agama Islam dan penekanan kepada pembacaan sebagai aset terpenting dalam usaha menimba keilmuan dan pengiktirafan Allah SWT sebagai sumber tertinggi ilmu pengetahuan manusia sebagaimana wahyu yang terawal di turunkan kepada Rasulullah SAW.

RUJUKAN

Hussain Othman. (2009). Wacana asasi agama dan sains. Johor: Penerbit Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Ramawan Ab. Rahman. (2011). Pengantar tamadun dan sejarah pemikiran Islam. Selangor: Penerbitan Alambaca SDN.BHD.
Rabiatul Adawiah Ahmad Rasyid. (2004). Konsep kesepaduan ilmu: antara Islam dan Barat. Tesis Master. Universiti Malaya.




Sunday, March 13, 2016

KONSEP PENGURUSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

KONSEP PENGURUSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1.0              PENGENALAN

Dunia pengurusan sesuatu organisasi pada hari ini terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang terutamanya dalam isu melibatkan hubungan majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi atau institusi-institusi tertentu. Pekerja atau pelanggan dalaman bagi sesebuah institusi atau organisasi perlu dititiberatkan oleh pihak pengurusan supaya mereka ini sentiasa berminat dan berpuas hati dalam menjalankan tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan. Hal ini kerana, seseorang pekerja itu merupakan sumber manusia yang terpenting dalam sesebuah organisasi atau institusi. Oleh itu, pengurusan Islam merupakan satu awlawiyat penting dalam pembangunan umat seperti yang telah ditonjolkan oleh Piagam Madinah. Di Malaysia, konsep pengurusan Islam masih lagi menjadi kekaburan dalam pemikiran Ummat Islam kerana kesan daripada pemikiran pengurusan konvensional yang menjadi dominon di kalangan masyarakat. Walhal Islam merupakan satu model pengurusan yang unggul tetapi diketepikan oleh masyarakat Islam.
Justeru, penulis berminat untuk membincangkan konsep pengurusan Islam melalui pendekatan epistemologi Islam yang bersifat “fitrah” membawa kepada kewujudan penciptaan manusia dimuka bumi Allah ini.

1.2       LATAR BELAKANG

Teori berteraskan Islam bukan sesuatu yang baru diketengahkan tetapi sudah lama dibincangkan, tetapi tidak dibuat dalam bentu yang formal dan tersusun. Ia sudah lama dipraktikan oleh nabi-nabi dan para rasul sehinggan melintasi zaman khulafa al-Rasyidin dan sehingga ke abad ke-21 ini dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Konsep pengurusan Islam mula dibincangkan secara mendalam bermula abad ke -7 dengan pelbagai perbincangan seperti isu pemerintahan, kepimpinan, pembangunan ekonomi, pembangunan social, pembentukkan negara Islam dan sebagainya. Antara tokoh-tokoh yang membincangkan pengurusan Islam dan menjadi tunggak serta perintis adalah seperti al-Ghazali, Ibn Taymiyyah, Aby Yusof dan Ibn Khaldun. Manakala teori pengurusan Barat pula mula menonjol pada abad ke-19 hingga kini, malahan pengaruh disiplin pengurusan Barat begitu kuat dan menonjol sehingga menjadi rujukan dan panduan oleh pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan negara seperti Henri Fayol, F.W. Taylor, Max Weber, Elton Mayo dan sebagainya (Azlina Abdul Aziz, 2001).

1.3       PENGURUSAN ISLAM DAN KONVENSIONAL

1.3.1    Pengurusan Konvensional

Menurut Mohd Yusof Abdullah (2013), konsep pengurusan konvensional menjadi tunjang utama atau dasar dan amalan di negara-negara maju. Malahan turut menjadi tulang belakang kepada system pengurusan di negara-negara mundur yang kebanykkannya adalah negara Islam. Hakikatnya pengurusan konvensional lebih menekankan kepada aspek pengurusan yang berteraskan material semata-mata, nafsi-nafsi dan mengabaikan aspek agama, etika, nilai dan pembangunan insan secara adil dan menyeluruh. Manakala dalam penulisan Hasan Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab.Ghani dan Siti Arni Basir (2013), menyatakan kajian-kajian daripada Barat atau Timur mendapati sekiranya pihak organisasi mengambi mudah dan tidak mempedulikan aspek pengurusan yang berkualiti, pastinya akan melahirkan kesan negatif dalam sesebuah organisasi dengan sikap pekerja yang mula malas, dengki, tidak produktif, ponteng dan sebagainya. Hal ini akan menjejaskan produktiviti dan kualiti sesuatu produk. Oleh itu, pelbagai dimensi sistem diwujudkan bagi mengatasi masalah sedemikian seperti piawaian ISO, Sistem Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan seumpamanya yang sering berhubung dengan kepuasan para pelanggan khususnya para pekerja dalam organisasi. Walaubagaimanpun, sistem tersebut hanya memberi impak kepada peningkatan penghasilan produk secara lahiriah sahaja dan tidak terkesan kepada konsep kerohanian atau spiritual dalaman pekerja.


1.3.2    Pengurusan Islam

Islam menentukan matlamat hidup seseorang dan Islam juga memperkenalkan suatu bentuk imbangan hubungan antara manusia dengan alam, manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah. Semuanya meliputi dalam lingkungan konsep ibadah. Oleh itu pengurusan juga sebahagian dalam konsep ibadah. Pengurusan Islam lebih menekankan ciri-ciri kemanusian dan kerohanian serta membentuk sikap menghormati dan menghargai setiap individu yang terlibat dalam pengurusan, kerana Islam meletakkan bahawa setiap jawatan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan yang setiap pelaksanaan tugasannya akan dihitung di dunia dan di akhirat (Azlina Abdul Aziz, 2001).
Muhammad Bakir Hj Yaakub dan Khatijah Othman (2009), pengurusan Islam merupakan konsep yang bersandarkan bahawa manusia adalah khalifah Allah dibumi iaitu seseorang yang memiliki peranan sebagai pengurus khazanah Allah. Hal ini menunjukkan semua manusia secara fitrahnya adalah berpotensi menjadi pengurus Allah dan apabila mengurus secara Islam ini menunjukkan dia mengurus khazanah Allah. Oleh itu, paksi kepada pengurusan Islam ialah manusia sebagai khalifah Allah yang akan mengurus segala aktiviti kehidupan dirinya dan juga ummah. Namun, agar konsep tersebut tercapai, perlulah memiliki beberapa kriteria seperti berilmu, berwawasan, realistik dan terancang
i           Pengurusan Ilmu
Ilmu merupakan peranan yang penting dalam melaksankan sesuatu tugasan kerana tanpa ilmu, sesuatu tugasan itu akan tergendala dan pengurusan akan pincang. Ilmu tersebut melibatkan ilmu duniawi dan juga ukhrawi kerana Islam menggalakkan umatnya hidup dalam ilmu dan mengurus secara ilmu. Hakikatnya untuk menjadi pengurus khazanah Allah mestilah seorang yang berilmu kerana manusia yang tidak memiliki ilmu, tidak berupaya dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah.
ii          Pengurusan Berwawasan
Pengurus Islam merupakan seseorang yang memiliki keimanan yang kukuh didalam dirinya dan keimanan ini akan menjadikannya seorang yang berpandangan jauh dan berwawasan bagi setiap perjalanan hidup dan segala aktivitinya dalam sesebuah organisasi atau institusi.
iii         Pengurusan Realistik (Amali)
Seseorang pengurus Islam akan memiliki sikap realistik iaitu bekerja secara amali dan bukan hanya secara teori semata-mata dengan memahami erti memberi manfaat kepada orang lain dalam setiap urusan bukan hanya sekadar menyatakan dimulut tetapi tidak dari sudut pelaksanaannya.
iv         Pengurusan terancang
Seorang pengurus yang akan mengurus organisasinya secara terancang iaitu menguru dengan benar, jujur dan amanah. Setiap keputusan yang dibuat berdasarkan kepada keilmuan yang dimiliki bukan dengan ikut-ikutan serta bersih dari segala bentuk kepentingan hawa nafsu dunia. Sikap ini akan menjadikan seorang pengurus itu tidak mudah hanyut oleh godaan syaitan.

1.4       KESIMPULAN

Umat Islam seharusnya membangunkan model pelaksanaan sistem pengurusan Islam dengan berpaksikan kepada konsep-konsep utama Islam sebagai ad-Din. Islam sebenarnya telah meletakkan garis panduan dalam sistem pengurusan yang lengkap kerana ia merupakan satu cabang peraturan yang lahir dari masyarakat Islam yang menghayati keperibadian dan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Malah, merupakan satu sistem yang menyeluruh dan universal serta bertujuan untuk menyusun cara hidup manusia dalam aspek-aspek pengurusan, politik, sosial dan ekonomi sebagai suatu penyusunan yang bersesuaian dengan rahsia kewujudannya sebagai hamba Allah. Oleh itu, pengurusan Islam merupakan satu cara yang digunakan oleh pemimpin negara bagi memenuhi tujuan dan matlamat yang digariskan dalam al-Quran bagi membentuk sebuah negara Islam.
                       

RUJUKAN
Azlina Abdul Aziz. (2001). Tanggapan kakitangan perkhidmatan awam terhadap prinsip-prinsip pengurusan Islam. Master thesis. Universiti Malaya.
Hasan Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab.Ghani dan Siti Arni Basir (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Vol 3 issue 1.
Mohd Yusof Abdullah. (2013). Sistem pengurusan konvensional jadi amalan di negara sedang membangun. Dimuat turun daripada http://eprints.ums.edu.my/6681/1/0001.pdf.
Muhammad Bakir Hj Yaakub dan Khatijah Othman. (2009). Pengurusan Islam pemankin ekonomi ummat. Kongres ekonomi Islam ke tiga. 1 (1).