Monday, April 18, 2016

PEMIKIRAN KEILMUAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

PEMIKIRAN KEILMUAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Prof Dr. Syed Naquib Al-Attas telah mendefiniskan ilmu sebagai ketibaan makna dalam diri seseorang yang menyebabkan berlaku perubahan berdasarkan ilmu yang diperolehi. Umumnya ilmu ialah pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah yang digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Oleh itu, ilmu menurut Islam dan Barat adalah berbeza kerana bagi Barat ilmu hanya dapat digarap oleh akal dan pancaindera sahaja, sedangkan ilmu dalam Islam adalah bersifat meluas dan diluar batas pancaindera.

KEPENTINGAN ILMU

Ilmu merupakan suatu perkara yang terpenting dalam kehidupan manusia kerana perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada bangsa itu sendiri. Justeru, Islam telah mengingatkan kita tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat-al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu, berdasarkan sabda Rasulullah SAW, maksudnya “ menuntut ilmu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan”.  Hal ini membuktikan menuntut ilmu merupakan perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam (Ramawan Ab.Rahman, 2011:70).

Oleh itu, menurut Rabiatul Adawiyah Ahmad Rasyid (2004: 45) dalam kajian mengenai konsep kesepaduan ilmu: antara Islam dan Barat menyatakan kepentingan ilmu pengetahuan dalam Islam ialah akan membawa manusia ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat, melalui ilmu, manusia mampu menjalankan ibadah dengan sempurna sama ada ibadah khusus atau ibadah umum, ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran akan menjadi banteng yang mencegah seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak serta menolak dari sifat kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

Selain itu, Hussain Othman (2009: 72), menyatakan ilmu dalam Islam dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain juga dapat dipecahkan kepada tiga bahagia iaitu pertama, ilmu tauhid yang berkaitan ilmu ketuhanan melibatkan perkara-perkara solat, akidah dan keimanan. Kedua, fekah iaitu ilmu berkaitan ibadah yang melibatkan hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan manusia. Ketiga, tasawuf iaitu ilmu akhlak yang berkaitan dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) dan sifat mazmumah (tercela ) serta berkaitan adab dan kelakuan manusia dengan Allah SWT, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekeliling. Manakala ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu yang lebih umum yang diperlukan untuk manfaat dan kegunaan umat Islam seperti ilmu perniagaan, ilmu kedoktoran, ilmu pengurusan, ilmu pertanian dan sebagainya.

Sumber-sumber ilmu pengetahuan dalam Islam ialah wahyu iaitu ilmu pengetahuan daripada Allah SWT kepada hambanya yang dipilih di kalangan hamba. Pancaindera juga merupakan sumber ilmu dalam Islam yang melibatkan sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan sumber pengetahuan utama dan amat berguna buat manusia. Selain itu, akal merupakan sumber utama ilmu pengetahuan manusia kerana ia membezakan antara manusia dan binatang kerana dengan akal manusia mampu membezakan mana yang baik dan buruk. Malahan dalam Islam, ilmu melalui intuisi atau ilham turut diterima kerana merupakan pengetahuan yang diperoleh tanpa melalui proses pemikiran  tertentu, contohnya, seseorang yang mempunyai masalah tetapi dapat menyelesaikan masalah tersebut secara tiba-toba tanpa melalui proses tertentu, ilmu ini dalam Islam dipanggil firasat atau pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah SWT (Ramana Ab. Rahman, 2011: 67).

KESIMPULAN

Sehubungan itu, Ilmu dalam Islam melibatkan skop yang luas kerana Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu iaitu tidak ada sebarang pertentangan antara agama dan ilmu disebabkan agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu itu adalah agama. Ilmu dalam perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil yang merangkumi pelbagai perkara seperti al-Quran, syariah, sunnah, iman, kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan. Oleh itu, ilmu adalah teras dalam sistem agama Islam dan penekanan kepada pembacaan sebagai aset terpenting dalam usaha menimba keilmuan dan pengiktirafan Allah SWT sebagai sumber tertinggi ilmu pengetahuan manusia sebagaimana wahyu yang terawal di turunkan kepada Rasulullah SAW.

RUJUKAN

Hussain Othman. (2009). Wacana asasi agama dan sains. Johor: Penerbit Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Ramawan Ab. Rahman. (2011). Pengantar tamadun dan sejarah pemikiran Islam. Selangor: Penerbitan Alambaca SDN.BHD.
Rabiatul Adawiah Ahmad Rasyid. (2004). Konsep kesepaduan ilmu: antara Islam dan Barat. Tesis Master. Universiti Malaya.