KONSEP
PENGURUSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
1.0
PENGENALAN
Dunia pengurusan sesuatu organisasi pada hari ini
terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang terutamanya
dalam isu melibatkan hubungan majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi
atau institusi-institusi tertentu. Pekerja atau pelanggan dalaman bagi sesebuah
institusi atau organisasi perlu dititiberatkan oleh pihak pengurusan supaya
mereka ini sentiasa berminat dan berpuas hati dalam menjalankan tanggungjawab
dan tugasan yang diamanahkan. Hal ini kerana, seseorang pekerja itu merupakan
sumber manusia yang terpenting dalam sesebuah organisasi atau institusi. Oleh itu,
pengurusan Islam merupakan satu awlawiyat penting dalam pembangunan umat
seperti yang telah ditonjolkan oleh Piagam Madinah. Di Malaysia, konsep
pengurusan Islam masih lagi menjadi kekaburan dalam pemikiran Ummat Islam kerana
kesan daripada pemikiran pengurusan konvensional yang menjadi dominon di kalangan
masyarakat. Walhal Islam merupakan satu model pengurusan yang unggul tetapi
diketepikan oleh masyarakat Islam.
Justeru, penulis berminat untuk membincangkan konsep
pengurusan Islam melalui pendekatan epistemologi Islam yang bersifat “fitrah”
membawa kepada kewujudan penciptaan manusia dimuka bumi Allah ini.
1.2 LATAR BELAKANG
Teori berteraskan Islam bukan sesuatu yang baru
diketengahkan tetapi sudah lama dibincangkan, tetapi tidak dibuat dalam bentu
yang formal dan tersusun. Ia sudah lama dipraktikan oleh nabi-nabi dan para
rasul sehinggan melintasi zaman khulafa al-Rasyidin dan sehingga ke abad ke-21
ini dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Konsep pengurusan Islam mula
dibincangkan secara mendalam bermula abad ke -7 dengan pelbagai perbincangan
seperti isu pemerintahan, kepimpinan, pembangunan ekonomi, pembangunan social,
pembentukkan negara Islam dan sebagainya. Antara tokoh-tokoh yang membincangkan
pengurusan Islam dan menjadi tunggak serta perintis adalah seperti al-Ghazali,
Ibn Taymiyyah, Aby Yusof dan Ibn Khaldun. Manakala teori pengurusan Barat pula
mula menonjol pada abad ke-19 hingga kini, malahan pengaruh disiplin pengurusan
Barat begitu kuat dan menonjol sehingga menjadi rujukan dan panduan oleh
pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan negara seperti Henri Fayol, F.W.
Taylor, Max Weber, Elton Mayo dan sebagainya (Azlina Abdul Aziz, 2001).
1.3 PENGURUSAN ISLAM DAN KONVENSIONAL
1.3.1 Pengurusan Konvensional
Menurut Mohd Yusof Abdullah (2013), konsep
pengurusan konvensional menjadi tunjang utama atau dasar dan amalan di
negara-negara maju. Malahan turut menjadi tulang belakang kepada system pengurusan
di negara-negara mundur yang kebanykkannya adalah negara Islam. Hakikatnya pengurusan
konvensional lebih menekankan kepada aspek pengurusan yang berteraskan material
semata-mata, nafsi-nafsi dan mengabaikan aspek agama, etika, nilai dan
pembangunan insan secara adil dan menyeluruh. Manakala dalam penulisan Hasan
Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab.Ghani dan Siti Arni Basir (2013), menyatakan
kajian-kajian daripada Barat atau Timur mendapati sekiranya pihak organisasi
mengambi mudah dan tidak mempedulikan aspek pengurusan yang berkualiti,
pastinya akan melahirkan kesan negatif dalam sesebuah organisasi dengan sikap
pekerja yang mula malas, dengki, tidak produktif, ponteng dan sebagainya. Hal ini
akan menjejaskan produktiviti dan kualiti sesuatu produk. Oleh itu, pelbagai
dimensi sistem diwujudkan bagi mengatasi masalah sedemikian seperti piawaian
ISO, Sistem Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan seumpamanya yang sering
berhubung dengan kepuasan para pelanggan khususnya para pekerja dalam
organisasi. Walaubagaimanpun, sistem tersebut hanya memberi impak kepada
peningkatan penghasilan produk secara lahiriah sahaja dan tidak terkesan kepada
konsep kerohanian atau spiritual dalaman pekerja.
1.3.2 Pengurusan Islam
Islam menentukan matlamat hidup seseorang dan Islam
juga memperkenalkan suatu bentuk imbangan hubungan antara manusia dengan alam,
manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah. Semuanya meliputi dalam
lingkungan konsep ibadah. Oleh itu pengurusan juga sebahagian dalam konsep
ibadah. Pengurusan Islam lebih menekankan ciri-ciri kemanusian dan kerohanian
serta membentuk sikap menghormati dan menghargai setiap individu yang terlibat
dalam pengurusan, kerana Islam meletakkan bahawa setiap jawatan adalah amanah
yang dipertanggungjawabkan yang setiap pelaksanaan tugasannya akan dihitung di
dunia dan di akhirat (Azlina Abdul Aziz, 2001).
Muhammad Bakir Hj Yaakub dan Khatijah Othman (2009),
pengurusan Islam merupakan konsep yang bersandarkan bahawa manusia adalah
khalifah Allah dibumi iaitu seseorang yang memiliki peranan sebagai pengurus
khazanah Allah. Hal ini menunjukkan semua manusia secara fitrahnya adalah
berpotensi menjadi pengurus Allah dan apabila mengurus secara Islam ini
menunjukkan dia mengurus khazanah Allah. Oleh itu, paksi kepada pengurusan
Islam ialah manusia sebagai khalifah Allah yang akan mengurus segala aktiviti
kehidupan dirinya dan juga ummah. Namun, agar konsep tersebut tercapai,
perlulah memiliki beberapa kriteria seperti berilmu, berwawasan, realistik dan terancang
i Pengurusan
Ilmu
Ilmu merupakan peranan yang penting dalam
melaksankan sesuatu tugasan kerana tanpa ilmu, sesuatu tugasan itu akan
tergendala dan pengurusan akan pincang. Ilmu tersebut melibatkan ilmu duniawi
dan juga ukhrawi kerana Islam menggalakkan umatnya hidup dalam ilmu dan
mengurus secara ilmu. Hakikatnya untuk menjadi pengurus khazanah Allah mestilah
seorang yang berilmu kerana manusia yang tidak memiliki ilmu, tidak berupaya
dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah.
ii Pengurusan
Berwawasan
Pengurus Islam merupakan seseorang yang
memiliki keimanan yang kukuh didalam dirinya dan keimanan ini akan
menjadikannya seorang yang berpandangan jauh dan berwawasan bagi setiap
perjalanan hidup dan segala aktivitinya dalam sesebuah organisasi atau institusi.
iii Pengurusan
Realistik (Amali)
Seseorang pengurus Islam akan memiliki
sikap realistik iaitu bekerja secara amali dan bukan hanya secara teori
semata-mata dengan memahami erti memberi manfaat kepada orang lain dalam setiap
urusan bukan hanya sekadar menyatakan dimulut tetapi tidak dari sudut
pelaksanaannya.
iv Pengurusan
terancang
Seorang pengurus yang akan mengurus
organisasinya secara terancang iaitu menguru dengan benar, jujur dan amanah. Setiap
keputusan yang dibuat berdasarkan kepada keilmuan yang dimiliki bukan dengan
ikut-ikutan serta bersih dari segala bentuk kepentingan hawa nafsu dunia. Sikap
ini akan menjadikan seorang pengurus itu tidak mudah hanyut oleh godaan
syaitan.
1.4 KESIMPULAN
Umat Islam seharusnya membangunkan model pelaksanaan
sistem pengurusan Islam dengan berpaksikan kepada konsep-konsep utama Islam
sebagai ad-Din. Islam sebenarnya telah meletakkan garis panduan dalam sistem
pengurusan yang lengkap kerana ia merupakan satu cabang peraturan yang lahir
dari masyarakat Islam yang menghayati keperibadian dan nilai-nilai akhlak yang
tinggi. Malah, merupakan satu sistem yang menyeluruh dan universal serta
bertujuan untuk menyusun cara hidup manusia dalam aspek-aspek pengurusan,
politik, sosial dan ekonomi sebagai suatu penyusunan yang bersesuaian dengan
rahsia kewujudannya sebagai hamba Allah. Oleh itu, pengurusan Islam merupakan
satu cara yang digunakan oleh pemimpin negara bagi memenuhi tujuan dan matlamat
yang digariskan dalam al-Quran bagi membentuk sebuah negara Islam.
RUJUKAN
Azlina Abdul Aziz. (2001). Tanggapan kakitangan perkhidmatan awam terhadap prinsip-prinsip
pengurusan Islam. Master thesis. Universiti Malaya.
Hasan Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab.Ghani dan Siti
Arni Basir (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin
kepuasan pekerja: suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Vol 3 issue 1.
Mohd Yusof Abdullah. (2013). Sistem pengurusan konvensional jadi amalan di negara sedang membangun.
Dimuat turun daripada http://eprints.ums.edu.my/6681/1/0001.pdf.
Muhammad Bakir Hj Yaakub dan Khatijah Othman.
(2009). Pengurusan Islam pemankin ekonomi ummat. Kongres ekonomi Islam ke tiga. 1 (1).