Monday, May 23, 2016

ILMU ISLAM DAN BARAT DARI SUDUT EPISTEMOLOGI

ILMU ISLAM DAN BARAT DARI SUDUT EPISTEMOLOGI

PENGENALAN
Kalimah iqra merupakan manifestasi wahyu yang pertama diturunkan kepada manusia menerusi Rasulullah SAW, jelas membuktikan bahawa kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia. Hal ini sejajar dengan perintah Allah SWT yang meletakkan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Malahan imam Syafie menyatakan “tuntulah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan menjadikan cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh”. Selain itu, ayat-ayat al-Quran juga banyak menekankan kepentingan ilmu dan didapati terdapat lebih kurang 800 rujukan yang berkaitan dengan ilmu. Justeru ilmu yang terpenting adalah ilmu pembangunan insan yang merujuk kepada agama,akidah, Tuhan dan memahami hukum hakam Allah SWT, dengan itu apabila beriman kepadaNya kita diperintahkan untuk mencari ilmu dan beramal dengan ilmu tersebut iaitu merujuk kepada ilmu fardhu ain yang menjadi kewajipan setiap muslim.

EPISTEMOLOGI ILMU ISLAM

Konsep epistemologi kebiasaannya dikaitkan dengan persoalan falsafah iaitu dalam aspek pengkajian ilmu pengetahuan. Oleh itu, konsep epistemologi menurut Islam menjadi peranan terpenting dalam masyarakat kerana ia adalah pandangan hidup yang merangkumi kehidupan di dunia dan akhirat. Epsitemologi adalah salah satu cabang ilmu falsafah yang membincangkan berkaitan haikat, makna, kandungan, sumber dan proses ilmu. Secara kesimpulannya ialah membawa maksud kajian berkaitan ilmu pengetahuan (Sulaiman Nordin, 2008:1)
Menurut Sulaiman Nordin (2008), epistemologi ilmu Islam adalah bersandarkan kepada sumber asas yang utama iaitu wahyu dan tidak menolak ilmu yang berunsurkan akal pemikira kerana ilmu dalam Islam adalah berbentuk sepadu dan tidak terpisah. Hal ini dapat dilihat pada ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, syariah dan lain-lain yang menjadi asas utama dan membentuk satu gandingan sepadu dengan ilmu kifayah seperti sains dan teknologi yang memudahkan urusan manusia.
Selain itu, ilmu ialah hakikat tentang sesuatu perkara kerana dalam Islam sumber ilmu yang sebenar adalah daripada Allah SWT yang dianugerahkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Oleh itu, ilmu dalam Islam boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat berdasarkan sumber-sumber  yang diiktiraf dalam Islam ialah ilmu wahyu, ilmu ilham dan ilmu akal kerana setiap bahagian ilmu terdapat hieraki dan kedudukannya dalam Islam ilmu yang diterima menurut bidang epistemogi Islam (Basri Husin, 2009: 186)

EPISTEMOLOGI BARAT

Menurut Sidek Baba (2011) menyatakan, epistemologi ilmu Barat adalah bersifat sekular yang tidak meletakkan agama sebagai landasan utama dalam setiap penyelidikan ilmu sehingga membawa kepada fahaman rasionalisme, saintisme, humanisme, liberalisme dan modernisme Barat yang akhirnya membawa kepada permasalahan akidah buat umat Islam khususnya. Hal ini kerana, pemikiran Barat yang berasaskan fahaman sekular ini hanya berasaskan kepada fakta, data dan dapatan hasil ujikaji seta pemerhatian yang menggunakan akal dan dibuktikan dengan pancaindera semata-mata tanpa melibatkan nilai agama dalam setiap penyelidikan ilmu. Ilmu bagi Barat tidak boleh dikaitkan dengan agama kerana faktor agama untuk dijadikan hujah empiris akan tertolak dan dianggap sebagai dogma iaitu tidak mempunyai asas pembuktian secara saintifik yang melibatkan perkara yang tidak mampu dibuktikan oleh akal dan pancaindera seperti perkara ghaibiyyat.

Sehubungan itu, fahaman epistemologi ilmu Barat yang bersifat sekular ini tujuan mencari dan mempelajari ilmu bukanlah sasaran untuk menjadi khalifah Allah SWT yang mencari kebenaran kewujudan Allah SWT dalam setiap kejadian sebaliknya hanya bermatlamatkan ilmu sekadar ilmu dan memberikan rasa ingin tahu manusia yang tidak terbatas demi kepentingan tersendiri dan kebendaan. Oleh itu, wujudlah pengkaji-pengkaji ilmu yang hanya berterusan membuat kajian demi kajian sehingga tanpa mempedulikan unsur-unsur kerohanian dan nilai akhlak, contohnya penciptaan klon manusia yang bertentangan fitrah manusia dan kewujudan kuasa Tuhan. Sehubungan itu, ilmu pengetahuan masa kini gagal melihat hubungan yang saling berkaitan antara ilmu saintifik dan agama kerana ia telah membawa kepada pemisahan ilmu yang melanda umat Islam kini. (Mohd Kamal Hassan, 1986:13).

KESIMPULAN
Sistem pendidikan yang diadaptasi oleh Barat telah mewujudkan ketiadaan haluan dan konflik mental yang melanda pemikiran masyarakat moden hari ini adalah hasil pengembangan ilmu yang menafikan hakikat kewujudan dan kekuasaan Allah SWT. Sistem ini mengelilingi dunia umat Islam yang menerapkan nilai ilmu hanyalah untuk duniawi semata-mata atau lebih bersifat kebendaan yang mampu memberi kemudahan dan mencapai kemajuan fizikal serta teknologi. Oleh itu, seandainya ilmuwan-ilmuwan Islam tidak menyedari hakikat ini dan mula meletakkan asas dalam setiap ilmu pengetahuan adalah Allah SWT, maka masyarakat orang Islam akan terus mengalamai pola-pola pembangunan yang pincang dan membawa kepada kerosakkan nilai akhlak sehingga melahirkan manusia yang hanya bertunjungkan ilmu berdasarkan akal semata-mata.

RUJUKAN
Basri bin Husin. (2009). Beberapa aspek epistemologi: Konsep, tabiat dan sumber-sumber
ilmu dalam tradisi Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Mohd Kamal Hassan. (1986). “Penghayatan Islam dalam Mempelajari dan Mengembangkan Ilmu” dalam Tajul Ariffin Noordin dan Abdul Raof Dalip (ed), Pendidikan Sepadu. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sulaiman Noordin. (2008). Sejarah pemikiran 1. Bangi: Pusat Pengajian Umum UKM.


Sidek Baba. (2011). Tajdid ilmu dan pendidikan. Kuala Lumpur: Techknowlogic Trading Sdn. Bhd.