Sunday, March 13, 2016

KONSEP PENGURUSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

KONSEP PENGURUSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1.0              PENGENALAN

Dunia pengurusan sesuatu organisasi pada hari ini terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang mendatang terutamanya dalam isu melibatkan hubungan majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi atau institusi-institusi tertentu. Pekerja atau pelanggan dalaman bagi sesebuah institusi atau organisasi perlu dititiberatkan oleh pihak pengurusan supaya mereka ini sentiasa berminat dan berpuas hati dalam menjalankan tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan. Hal ini kerana, seseorang pekerja itu merupakan sumber manusia yang terpenting dalam sesebuah organisasi atau institusi. Oleh itu, pengurusan Islam merupakan satu awlawiyat penting dalam pembangunan umat seperti yang telah ditonjolkan oleh Piagam Madinah. Di Malaysia, konsep pengurusan Islam masih lagi menjadi kekaburan dalam pemikiran Ummat Islam kerana kesan daripada pemikiran pengurusan konvensional yang menjadi dominon di kalangan masyarakat. Walhal Islam merupakan satu model pengurusan yang unggul tetapi diketepikan oleh masyarakat Islam.
Justeru, penulis berminat untuk membincangkan konsep pengurusan Islam melalui pendekatan epistemologi Islam yang bersifat “fitrah” membawa kepada kewujudan penciptaan manusia dimuka bumi Allah ini.

1.2       LATAR BELAKANG

Teori berteraskan Islam bukan sesuatu yang baru diketengahkan tetapi sudah lama dibincangkan, tetapi tidak dibuat dalam bentu yang formal dan tersusun. Ia sudah lama dipraktikan oleh nabi-nabi dan para rasul sehinggan melintasi zaman khulafa al-Rasyidin dan sehingga ke abad ke-21 ini dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Konsep pengurusan Islam mula dibincangkan secara mendalam bermula abad ke -7 dengan pelbagai perbincangan seperti isu pemerintahan, kepimpinan, pembangunan ekonomi, pembangunan social, pembentukkan negara Islam dan sebagainya. Antara tokoh-tokoh yang membincangkan pengurusan Islam dan menjadi tunggak serta perintis adalah seperti al-Ghazali, Ibn Taymiyyah, Aby Yusof dan Ibn Khaldun. Manakala teori pengurusan Barat pula mula menonjol pada abad ke-19 hingga kini, malahan pengaruh disiplin pengurusan Barat begitu kuat dan menonjol sehingga menjadi rujukan dan panduan oleh pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan negara seperti Henri Fayol, F.W. Taylor, Max Weber, Elton Mayo dan sebagainya (Azlina Abdul Aziz, 2001).

1.3       PENGURUSAN ISLAM DAN KONVENSIONAL

1.3.1    Pengurusan Konvensional

Menurut Mohd Yusof Abdullah (2013), konsep pengurusan konvensional menjadi tunjang utama atau dasar dan amalan di negara-negara maju. Malahan turut menjadi tulang belakang kepada system pengurusan di negara-negara mundur yang kebanykkannya adalah negara Islam. Hakikatnya pengurusan konvensional lebih menekankan kepada aspek pengurusan yang berteraskan material semata-mata, nafsi-nafsi dan mengabaikan aspek agama, etika, nilai dan pembangunan insan secara adil dan menyeluruh. Manakala dalam penulisan Hasan Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab.Ghani dan Siti Arni Basir (2013), menyatakan kajian-kajian daripada Barat atau Timur mendapati sekiranya pihak organisasi mengambi mudah dan tidak mempedulikan aspek pengurusan yang berkualiti, pastinya akan melahirkan kesan negatif dalam sesebuah organisasi dengan sikap pekerja yang mula malas, dengki, tidak produktif, ponteng dan sebagainya. Hal ini akan menjejaskan produktiviti dan kualiti sesuatu produk. Oleh itu, pelbagai dimensi sistem diwujudkan bagi mengatasi masalah sedemikian seperti piawaian ISO, Sistem Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan seumpamanya yang sering berhubung dengan kepuasan para pelanggan khususnya para pekerja dalam organisasi. Walaubagaimanpun, sistem tersebut hanya memberi impak kepada peningkatan penghasilan produk secara lahiriah sahaja dan tidak terkesan kepada konsep kerohanian atau spiritual dalaman pekerja.


1.3.2    Pengurusan Islam

Islam menentukan matlamat hidup seseorang dan Islam juga memperkenalkan suatu bentuk imbangan hubungan antara manusia dengan alam, manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah. Semuanya meliputi dalam lingkungan konsep ibadah. Oleh itu pengurusan juga sebahagian dalam konsep ibadah. Pengurusan Islam lebih menekankan ciri-ciri kemanusian dan kerohanian serta membentuk sikap menghormati dan menghargai setiap individu yang terlibat dalam pengurusan, kerana Islam meletakkan bahawa setiap jawatan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan yang setiap pelaksanaan tugasannya akan dihitung di dunia dan di akhirat (Azlina Abdul Aziz, 2001).
Muhammad Bakir Hj Yaakub dan Khatijah Othman (2009), pengurusan Islam merupakan konsep yang bersandarkan bahawa manusia adalah khalifah Allah dibumi iaitu seseorang yang memiliki peranan sebagai pengurus khazanah Allah. Hal ini menunjukkan semua manusia secara fitrahnya adalah berpotensi menjadi pengurus Allah dan apabila mengurus secara Islam ini menunjukkan dia mengurus khazanah Allah. Oleh itu, paksi kepada pengurusan Islam ialah manusia sebagai khalifah Allah yang akan mengurus segala aktiviti kehidupan dirinya dan juga ummah. Namun, agar konsep tersebut tercapai, perlulah memiliki beberapa kriteria seperti berilmu, berwawasan, realistik dan terancang
i           Pengurusan Ilmu
Ilmu merupakan peranan yang penting dalam melaksankan sesuatu tugasan kerana tanpa ilmu, sesuatu tugasan itu akan tergendala dan pengurusan akan pincang. Ilmu tersebut melibatkan ilmu duniawi dan juga ukhrawi kerana Islam menggalakkan umatnya hidup dalam ilmu dan mengurus secara ilmu. Hakikatnya untuk menjadi pengurus khazanah Allah mestilah seorang yang berilmu kerana manusia yang tidak memiliki ilmu, tidak berupaya dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah.
ii          Pengurusan Berwawasan
Pengurus Islam merupakan seseorang yang memiliki keimanan yang kukuh didalam dirinya dan keimanan ini akan menjadikannya seorang yang berpandangan jauh dan berwawasan bagi setiap perjalanan hidup dan segala aktivitinya dalam sesebuah organisasi atau institusi.
iii         Pengurusan Realistik (Amali)
Seseorang pengurus Islam akan memiliki sikap realistik iaitu bekerja secara amali dan bukan hanya secara teori semata-mata dengan memahami erti memberi manfaat kepada orang lain dalam setiap urusan bukan hanya sekadar menyatakan dimulut tetapi tidak dari sudut pelaksanaannya.
iv         Pengurusan terancang
Seorang pengurus yang akan mengurus organisasinya secara terancang iaitu menguru dengan benar, jujur dan amanah. Setiap keputusan yang dibuat berdasarkan kepada keilmuan yang dimiliki bukan dengan ikut-ikutan serta bersih dari segala bentuk kepentingan hawa nafsu dunia. Sikap ini akan menjadikan seorang pengurus itu tidak mudah hanyut oleh godaan syaitan.

1.4       KESIMPULAN

Umat Islam seharusnya membangunkan model pelaksanaan sistem pengurusan Islam dengan berpaksikan kepada konsep-konsep utama Islam sebagai ad-Din. Islam sebenarnya telah meletakkan garis panduan dalam sistem pengurusan yang lengkap kerana ia merupakan satu cabang peraturan yang lahir dari masyarakat Islam yang menghayati keperibadian dan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Malah, merupakan satu sistem yang menyeluruh dan universal serta bertujuan untuk menyusun cara hidup manusia dalam aspek-aspek pengurusan, politik, sosial dan ekonomi sebagai suatu penyusunan yang bersesuaian dengan rahsia kewujudannya sebagai hamba Allah. Oleh itu, pengurusan Islam merupakan satu cara yang digunakan oleh pemimpin negara bagi memenuhi tujuan dan matlamat yang digariskan dalam al-Quran bagi membentuk sebuah negara Islam.
                       

RUJUKAN
Azlina Abdul Aziz. (2001). Tanggapan kakitangan perkhidmatan awam terhadap prinsip-prinsip pengurusan Islam. Master thesis. Universiti Malaya.
Hasan Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab.Ghani dan Siti Arni Basir (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Vol 3 issue 1.
Mohd Yusof Abdullah. (2013). Sistem pengurusan konvensional jadi amalan di negara sedang membangun. Dimuat turun daripada http://eprints.ums.edu.my/6681/1/0001.pdf.
Muhammad Bakir Hj Yaakub dan Khatijah Othman. (2009). Pengurusan Islam pemankin ekonomi ummat. Kongres ekonomi Islam ke tiga. 1 (1).




No comments:

Post a Comment